Monday, August 25, 2014

CERITA PEMBIKINAN VS CERITA TAYANGAN

Saya pernah didatangi seorang usahawan tempatan yang sedang mempromosikan filem animasinya yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Sebagai seorang penggemar animasi, sudah tentu saya agak teruja.

Pada masa yang sama, saya turut tertanya-tanya tentang keistimewaan animasinya ini. Katanya, animasinya ini merupakan 100% buatan tempatan. Dihasilkan oleh anak-anak tempatan. Proses editing dan rendering juga oleh syarikat-syarikat tempatan. Segalanya tempatan.

Kemudian, saya dipertontonkan trailer filem itu. Saya hanya diam dan tersengih sahaja.

Berdasarkan trailer itu, saya langsung tidak faham apa yang mahu disampaikan. Hanyalah sekilas babak-babak yang dianggap 'cun' digabungkan bersama dalam 1 minit setengah. Sama seperti trailer filem-filem aksi yang hanya 'menjual' aksi gaduh, tumbuk dan tembak semata-mata.

Semasa trailer itu dipertontonkan, usahawan itu menekankan lagi bahawa segalanya adalah 100% buatan tempatan. Ciptaan anak-anak dan syarikat tempatan!

Adakah saya akhirnya tonton filem ini? Tidak.

Adakah saya tidak sokong filem buatan tempatan? Tidak, saya sokong. Saya tengok filem Geng Upin Ipin di panggung. Malah, ketika kecil juga saya menonton Silat Lagenda di panggung sebelum ianya ditayangkan setiap bulan Syawal.

Kenapa saya tidak tonton filem ini? Mudah. Saya penggemar animasi. Saya penggemar filem. Saya cuma mahu ke panggung untuk menonton jalan cerita yang menarik. Cerita yang boleh saya hebahkan pada kawan-kawan selepas menonton.

Tetapi, kebanyakan orang lebih mementingkan keseronokan dan kehebatan disebalik pembikinan cerita berbanding cerita yang mahu disampaikan.

Pada akhirnya, saya tidak peduli ia buatan 100% tempatan atau tidak. Saya tidak peduli ia dihasilkan pada tempoh yang lama atau sekejap. Yang saya peduli, jalan cerita yang memuaskan dan menghiburkan hati saya yang sedang makan popcorn di atas sofa empuk.

Jadi, jual pada saya JALAN CERITA yang meyakinkan. Bukan cerita tentang PEMBIKINAN.

Saya pastinya akan sedia untuk sokong dan menonton.