Tuesday, March 22, 2016

Karya Novel di Awal 2016


Tahun 2016 ini memang Aman mahu fokus dalam bidang baru iaitu penulisan novel. Bagi Aman ini satu lagi cabang yang perlu Aman asah sementara peluang sedang terbuka. Lebih lagi, 4 tahun melukis bersama BLINK, tiba masanya untuk Aman mengambil nafas baru. Cerita baru, bidang baru, hobi baru.

Namun, tidak bermakna Aman tinggalkan komik terus. Aman masih lagi melukis kerana Aman mahu BLINK Nomik berkembang pesat. Alhamdulillah Aman kini bersama pelukis-pelukis hebat yang bakal memeriahkan lagi industri nomik.

Jadi mesti korang tertanya-tanya, novel apa je yang Aman tengah taip dan sudah siap taip? Meh Aman kongsikan projek novel yang sedang berlangsung dalam awal tahun 2016 ini.

* * * * *


1 - AKU MAHU SUPER BODYGUARD

Ini ialah novel Aman yang pertama dalam genre gedik-gedik! Seperti yang korang tahu, BLINK memang terkenal dengan cerita yang gedik lagi mengada-ngada. Namun, untuk karya Aman ini, Aman meletakkan sedikit unsur suspen dan jenayah supaya jalan cerita lebih menarik!

Novel ini Aman siapkan dalam masa 1 bulan, bermula pertengahan Disember 2015 hinggalah Januari 2016. Kini sudah pun dalam proses editorial dan bakal terbit di Pesta Buku Antarabangsa 2016 pada bulan April nanti.

Novel ini Aman telah rangka ceritanya lama! 2 tahun lepas lagi. Namun pada ketika itu Aman tidak yakin pada kebolehan diri, jadi Aman pass pada rakan penulis BLINK untuk bekerjasama menjadi penulis. Namun, akhirnya karya ini di pass ke seorang demi seorang sehinggalah kembali ke tangan Aman semula.

Aman tidak mahu karya ini tertangguh lama lagi, jadi Aman sahut cabaran untuk hold sekejap pembikinan nomik Lawak Sekolah 6 untuk mencuba tulis novel ini. Alhamdulillah, pengalaman yang seronok dan siap dengan jayanya!


* * * * *


2 - AKU MAHU DIARI PINK

Novel ini Aman bekerjasama dengan rakan penulis BLINK iaitu Alam Anuar yang terkenal dengan novel Aku Mahu Banglo Pink! Aman menjadi pereka cerita dan editor, Alam pula menjadi penulis.

Novel ini juga cerita gedik-gedik yang terselit kisah jenayah! Hahaha! Memang Aman suka letak konflik yang berat-berat pada watak gedik. Ini kerana Aman terpengaruh dengan filem chic flick seperti Legally Blond dan White Chick! Cerita gadis-gadis tetapi ada konflik yang besar dan menarik.

Namun, berbeza dengan novel Aku Mahu Super Bodyguard, novel ini Aman awalnya mengalami kesukaran sedikit. Ini kerana Aman perlu edit penulisan Alam Anuar supaya mencapai feel yang Aman expect. Jadi, mengedit hasil karya orang lain agak sukar juga kerana Aman perlu pastikan Aman tidak mengubah gaya penulisan dan identiti Alam Anuar dalam novel ini.

Alhamdulillah, novel ini juga berjaya siap edit sebulan selepas Aku Mahu Super Bodyguard. Alam siap menaip pada bulan Januari, maka Aman pula siap edit novel ini pada Febuari 2016. Novel ini juga bakal terbit di Pesta Buku Antarabangsa 2016! Yeay! Ada 2 novel terbit serentak!


* * * * *


3 - SEKUEL LEMBAGA KERUSI BIRU

Kepada yang pernah membaca novel sulung Aman iaitu Lembaga Kerusi Belakang, ini adalah sambungan kepada novel itu. Alhamdulillah sambutan novel pertama sangat memberangsangkan sehingga berstatus bestseller! Sudah diulang cetak lagi 5000 naskah dalam masa 2 bulan. Wahhh!!

Jadi, makin membuak-buaklah perasaan Aman untuk menyiapkan sambungan untuk siri lembaga ini. Aman sekarang lagi 5 muka surat sahaja untuk siap. Namun menaip novel seram ini lebih mencabar kerana Aman perlu pastikan setiap ayat memberi emosi yang jelas kepada pembaca.

Berbeza apabila menaip novel siri AKU MAHU yang Aman boleh taip ayat gedik dan lawak sesuka hati. Novel seram memerlukan penelitian yang lebih terperinci. Silap pilih perkataan, perasaan seram tidak akan datang. Silap susun kedudukan ayat, pasti cerita akan bosan.

Namun, Aman yakin jalan cerita kali ini lebih seram dan lebih berdarah berbanding buku pertama. InsyaAllah buku ketiga dan penamat untuk siri lembaga kerusi ini bakal Aman mulakan pada Mei 2016 pula. Yosh!!


* * * * *


4 - NOMIK LAWAK TERBARU

Tahun ini juga Aman memegang jawatan sebagai pengurus/editor untuk Nomik BLINK. Ini bermakna, Aman kini di dalam proses mengumpulkan beberapa pelukis untuk bekerjasama melukis komik dengan Aman.

Alhamdulillah, untuk projek pertama Aman menerima 2 pengkarya yang mempunyai keunikan yang tersendiri iaitu Danial Haikal dan Amna Shark! Sebelum Aman diberi jawatan lagi Aman memang follow karya kedua-dua mereka ini secara senyap-senyap. Jadi, apabila big bos berikan jawatan ini pada Aman, memang mereka berdua antara yang sudah di dalam list mesti tarik masuk BLINK! Haha!

Projek nomik kami juga berjalan sangat lancar dan seperti yang korang tahu, nomik adalah gabungan Novel+Komik. Untuk nomik lawak terbaru ini (tajuk dirahsiakan dulu) Aman, Danial dan Amna melukis komik bersama-sama.

Namun, untuk bahagian novel, hanya Aman seorang sahaja dan dibantu oleh Kak Ain Maisarah. Novel untuk nomik ini juga lebih mudah seperti menghasilkan siri AKU MAHU. Malah mukasurat juga tidak banyak dan konflik juga santai. So far, Aman enjoy menulis untuk nomik lawak ini!

InsyaAllah Aman target 2 buah nomik ini bakal terbit pada akhir tahun 2016 nanti. Amin!


* * * * *


Alhamdulillah, setakat ini sudah ada 4 projek penulisan yang sedang Aman usahakan di awal tahun. Ada banyak lagi yang bakal Aman tulis. Ada banyak lagi genre novel yang akan Aman taip.

Aman peminat siri bunuh yang kejam-kejam. Idea untuk 3 buku sudah ada dan big bos sudah suka ceritanya. InsyaAllah bakal menulis 3 buku itu pada bulan 7 akan datang.

Jadi, doakan Aman berjaya dalam karier sebagai novelis juga ya!

Terima kasih kerana support Aman!

v( ^______^ )v

-out-