Friday, December 30, 2016

Tema Azam Baru

Tahun ini, sekali lagi Aman akan buat azam tahun baru secara bertema. Lebih mudah dan lebih fokus untuk capai. Selama ini, setiap azam tahun baru susah mahu dicapai. Tetapi, apabila menjadi dalam bentuk tema, ia lebih seronok dan simple.

Bermula tahun 2013 dengan tema "Jadi Dewasa". Tahun inilah Aman baru sedia untuk jelajah sekolah ke luar negeri, beranikan diri pandu kereta masuk highway, dan menerima ahli keluarga baru, kakak ipar.

Tahun 2014 pula "Cuba Benda Baru". Banyak perkara yang gila-gila telah dilakukan. Aman masuk ujibakat berlakon di Grand Brilliance, cipta brand T-shirt Sheeply Sweet, aktif ke seminar pengucapan awam dan tahun itu juga Aman mula berjinak merangka novel.

Tema tahun 2015 pula adalah "Pecah Rekod Lama". Segala yang Aman dah lakukan pada 2014, Aman mahu lakukan lebih hebat dan lebih baik. Jelajah 93 sekolah berbanding 65, tulis sebuah novel berbandingan tulis rangka, bergabung dengan ramai pekomik berbanding melukis solo.

Kemudian tahun 2016 menjelma dan menjadi bukti kepada tema "Jadi Penulis". Tahun mengasah bakat yang baru digilap, dan mengenal potensi diri. 3 novel berjaya terbit, 3 rangka novel berjaya disiapkan dan 9 jalan cerita mendapat kelulusan untuk ditaip.

Tahun 2017...? Fuhh...rasanya ini tema yang paling Aman risau dan susah sekali. Tetapi, waktu sudah berubah dan segalanya perlu bertukar. Perubahan dalam industri buku, perubahan potensi diri dan perubahan fikiran sebelum 30 tahun. InsyaAllah... Aman akan cuba berikan yang terbaik.

Tema tahun 2017.... "Keluar dari Zon Selesa".

Bismillah.

-out-