Thursday, July 13, 2017

Hari Kecewa, Hari Bahagia

Menjadi penulis ini tidak mudah seperti yang digambarkan. Ya, memang seronok. Tetapi di sebalik itu, ada juga kesukaran yang terjadi.

Pagi tadi aku bertemu dengan kesukaran yang selama ini aku hanya dengar-dengar sahaja dari teman-teman penulis. Dicemuh oleh golongan terpelajar, di pandang hina dan menganggap perjuangan penulisan aku ini hanyalah sesuatu yang tidak bermoral.


Sepanjang pagi aku rasa hilang semangat. Aku rasa down. Aku mula tertanya-tanya.

"Kenapa susah sangat mahu buat buku baik-baik? Tulis cerita baik-baik pun dikecam dan dikeji. Malah, dikecam oleh golongan yang juga baik-baik."

Muncul dalam benak untuk aku menukar arus. Muncul dalam jiwa untuk berhenti sahaja dan fokus pada apa yang aku benar-benar mahukan. Hasilkan cerita yang rebel. Hasilkan sesuatu yang memang perlu dikecam. Tidak perlu berselindung di sebalik kelabu jika hitam lebih jelas lagi terang bukan?

Dikala aku sedang punyai fikiran seperti itu (hanya kerana pertemuan aku dengan seseorang yang mengecam perjuangan aku ini) tuhan temukan aku bersama seseorang yang juga di dalam golongan terpelajar pada petang harinya, tetapi individu punyai fikiran 180 darjah yang berbeza.

Berbual dengan individu berpangkat seorang bapa ini, memberi nasihat di atas segala perjuangan aku dan memahami apa yang aku perjuangkan. Mendengar kisah aku yang bukan sesiapa... hanya penulis picisan. Memberikan aku butiran kata yang menaikkan semangat dan hati aku kepada penulisan yang baik-baik ini semula.

"Man, perjuangan kita ini tidak
 akan 100% orang suka. Jadi kita kena kuat. Orang sastera ini memang tugasnya menyampaikan. Jadi sampaikan mesej dan cerita-cerita baik untuk semua."

Aku rasa nak menangis. Aku rasa terharu.


Indah sungguh aturan tuhan. Di dalam satu hari Dia memberikan aku seburuk-buruk perasaan dan seindah-indah perasaan. Di dalam satu hari dia temukan aku dengan seorang yang mengecam sepenuhnya, dan seorang yang bersorak akan perjuangan aku seikhlasnya.

Terima kasih tuhan untuk pengalaman hari yang berharga ini. Pengalaman buat seorang penulis yang mahu menulis cerita baik-baik semula. Perjuangan harus terus. :)

-out-