Showing posts with label novel. Show all posts
Showing posts with label novel. Show all posts

Monday, November 13, 2017

Karya Terus ke Hati


Sewaktu Aman aktif buat video Youtube, pernah beberapa kali penonton tinggalkan komen yang bermakna...

"Vlog Aman buat saya ceria hari ni. Terima kasih!"

Besar sungguh rasa hati apabila hasil karya, video lucu 4 minit itu mampu menceriakan hidup seseorang. Seseorang yang Aman sendiri tak kenali dan tidak tahu masalah yang sedang dialami. Tetapi, dapat membantu sekecil itu adalah sesuatu yang besar buat Aman.

Perasaan itu kini Aman alami ketika membaca karya novel Cecelia Ahern ini. Apabila mood rasa tak best, baca karya penulis ini membuatkan Aman rasa bagus. Rasa terinspirasi. Rasa nak buat sesuatu yang bagus juga.

Setiap kali Aman habis baca ayat terakhir, buku itu ditutup dengan hembusan nafas yang puas dan senang. Perasaan ini. Aman mahu karya novel, komik dan nomik Aman mencipta perasaan seperti ini.

Aman akan pastikan. InsyaAllah! ❤


-out-

Monday, August 14, 2017

Novel Seram Didik Pelajar

Setiap kali jelajah sekolah, Aman sangat galakkan pelajar untuk membaca novel-novel seram BLINK ini.

Bukan kerana seramnya, bukan kerana hantunya. Tetapi kerana buku-buku seram ini sebenarnya adalah siri masalah disiplin pelajar!

Ya. Cuba baca dan belek buku-buku seram ini. Kami sengaja menggunakan genre seram untuk menarik pelajar (yang kebiasaannya tidak suka membaca) untuk memahami isu-isu seperti buli, pemalas, bahana online dan sebagainya. Contoh:

LEMBAGA KERUSI BELAKANG |
Isu pelajar yang pemalas dan tidak suka siapkan kerja sekolah sehingga mensyirikkan tuhan.

KORBAN KERUSI BIRU |
Isu rakan kelas yang menutup mata, telinga dan mulut akan kejadian buli yang berlaku di depan mata.

KOMPUTER BERHANTU |
Isu pelajar yang terlalu asyik dengan gadget sehingga mengabaikan waktu belajar dan waktu solat.

... dan banyak lagi!

Ini semua adalah novel yang mendisiplinkan pelajar tetapi bertemakan seram. Apatah lagi penggunaan Bahasa Melayu Penuh dan prinsip buku BLINK dan PTS yang sememangnya patuh syariah. Memang bagus untuk para pelajar baca walaupun masih Darjah 1.


-out-

Monday, May 22, 2017

Penutup Siri Dongeng

Fuh.... selepas terbitnya novel ke-8 Siri Dongeng ini, Aman perlu siapkan 2 lagi naskah terakhir untuk tahun 2018! Jadi, mahu atau tak, terpaksa juga khatamkan balik dan baca semula setiap buku dalam siri ini dari mula sampai habis. Peh, memang berpinar biji mata. Tapi kalau nak hasilkan karya best, kena buat pengorbanan sikit. Hoho!
Mulanya Big Bos mahu Aman yang tulis siri Dongeng ini, tapi penulisan Kak Izanor Sharif (penulis asal) sudah pun snagat best dan lebih puitis. Susah Aman mahu tiru. Jadi, better Aman jadi pereka cerita cerita sahaja. Lagi mudah kerja, lagi senang siap.

Tiga buku terakhir siri Dongeng ini memang payah nak reka. Ini sebab ceritanya sudah mencapai tahap klimaks di mana watak utama kini berdepan konflik besar. Jadi, Aman perlu reka watak penjahat, kuasa besar, kehancuran dan super twist untuk jadikan tiga buku terakhir dalam siri Dongeng ini super best! Konflik besar sudah bermula sejak novel ke-8 iaitu novel Milahficient dan Puteri Aurorah.

Gabungan rangka cerita yang dramatik dan penulisan Kak Izanor yang puitis lagi lucu memang kombinasi best! Aman sendiri suka baca novel Milahficiennt tu ulang kali. Hohoho!


Alhamdulillah! Akhirnya setelah memening kepala dan mendapat input-input bernas dari penulis lain, rangka cerita untuk buku ke-9 dan ke-10 telah pun siap dan mendapat LAMPU HIJAU dari Big Bos! Yeah!

Dua karya terakhir ini memang superbly epik! (puji cerita sendiri) Ini sebab penutup konflik dan sihir besar Aman tiruvasi dari suasana tanda-tanda besar Kiamat. Jadi, pertama kali Aman dapat buat rangka cerita fiksyen yang berdasarkan sesuatu yang ilmiah dan islami. Terasa genius kejap. Hahaha!

Apapun, doakan penulisan dua buku terakhir ini dapat disiapkan dengan jaya ya! Tak sabar mahu tahu pendapat korang tentang buku-buku ini terutama tiga buku terakhir siri Dongeng!

-out-

Monday, April 3, 2017

Siri KERUSI hampir tamat


Ini adalah tiga novel Siri KERUSI yang saya tulis. Ketiga-tiga cerita punyai watak utama berbeza namun hidup di dalam universe yang sama.

#LembagaKerusiBelakang
membawa kisah Nadiya Risa si pemalas yang selalu dinasihati oleh teman baiknya Fain. Kisah Nadiya bermula apabila dia bertemu sebuah meja berkerusi biru yang terletak di dalam sebuah kelas terkunci.

#CintaKerusiDepan
pula membawa perspektif Fain si sahabat Nadiya Risa yang turut sama mengetahui kewujudan si meja berkerusi biru. Namun kisahnya berbeza apabila membawa moment yang romantis berbanding kisah seram si Nadiya.

#KorbanKerusiBiru
membawa pembaca 10 tahun ke belakang apabila meja berkerusi biru itu dimiliki oleh seorang pelajar mangsa buli bernama Nani yang mempunyai pengalaman hidup tragis lagi berdarah.

Sekarang sedang menaip novel penutup. Seorang watak pelajar lelaki yang akan menemukan ketiga-tiga watak utama yang terdahulu dalam 1 cerita.

-out-

Sunday, March 12, 2017

Buku Paling Seram


Buku-buku ini milik seorang pelajar yang berkongsi baca bersama 9 beradik. Memang seram melihat kondisi buku-buku ini. Tetapi sekurangnya, ia hancur kerana diulang-ulang baca.

Buku paling seram?
Buku yang dibeli, diambil gambar, masuk ke dalam insta dan tidak dibaca-baca.

-out-

Thursday, February 23, 2017

Novel Seram Patuh Syariah


Cerita seram patuh syariah?


Memang pelik pada awalnya. Namun, inilah konsep yang dipegang oleh setiap penulis BLINK. Menjadikan filem Munafik karya Syamsul Yusof sebagai tiruvasi cerita seram yang mempunyai nilai dakwah.

Alhamdulillah, novel seram Lembaga Kerusi Belakang dan Korban Kerusi Biru sering diterima baik oleh pelajar dan guru! Malah, ada beberapa pelajar lelaki turut mengaku bahawa novel ini merupakan novel pertama yang mereka baca. 




Aman sangat berharap ia dapat hasilkan 'spark' yang menjentik minat untuk terus suka membaca. InsyaAllah!


-out-

Sunday, January 29, 2017

Kembar tapi Berbeza

Ini novel berkembar.

Satu kisah seram, satu lagi cerita cinta.


Sang Lembaga menghantui pelajar malas bernama Nadiya di kelas 3F. Sang Cinta pula melanda pelajar pandai bernama Fain di kelas 3F. Nadia dan Fain berkawan baik.

Dua cerita yang berlainan genre, namun saling crossover. Apa yang penting, kedua-dua cerita bermula dengan seorang guru Matematik, Cikgu Haizi sedang mengamuk di kelas yang sama.

-out-


Wednesday, January 18, 2017

Jatuh Cinta Lagi


Aku jatuh cinta.
Setiap kali terbitnya buku baru, aku bagai dipanah cupid! Oh, perasaan yang sangat bahagia dan dilamun angau hanya kerana sebuah buku. Sememangnya segala tentang novel terbaru ini buat aku gembira!

Ah, memang kelakar memikirkan aku menulis novel genre begini. Namun agak puas hati juga. Seronok bermain ayat dan mencipta plot romantik komedi. Tetapi, untuk hasilkan full romantik? Oh, aku bukanlah orangnya.

Apapun, aku cukup puas hati sekarnag ini. Yosh! Kembali hasilkan karya hantu bunuh-bunuh baby! Muahahaha!!

-out-

Wednesday, November 23, 2016

Kaver Novel Cinta


Yeah! Punyalah seronok rasa hati apabila kaver CINTA KERUSI DEPAN kini sudah siap! Aman sangat-sangat teruja untuk menantikan novel solo Aman ini! Ia merupakan spin-off kepada novel LEMBAGA KERUSI BELAKANG yang Aman hasilkan bersama Kak Ain Maisarah. Kini Aman menulis seorang pula!

Selain itu, Aman juga sudha mendapat kelulusan LAMPU HIJAU untuk novel terakhir kepada trilogi Kisah Lembaga Kerusi Belakang! InsyaAllah akan hadir dengan tajuk Seruan Kerusi Berdarah. Ahhhh...dua perkara yang betul-betul buat Aman gembira! Semoga siri ini akan menjadi siri yang diingati oleh para pembaca!

 Teruskan menyokong Aman Wan ya! 


<3 span=""> <3 span=""> <3 span="">
-out-

Sunday, October 9, 2016

Lembaga Bertukar Cinta...

Lembaga Kerusi Belakang, merupakan novel sulung Aman bersama penulis Kak Ain Maisarah! Novel yang bertemakan seram ini sememangnya mendapat sambutan yang cukup hangat oleh pembaca dan para pelajar. Kini... Aman Wan telah tampil dengan sebuah novel solo, sebuah spin-off kisah si lembaga yang bertajuk Cinta Kerusi Depan! Oh, langsung tak di sangka bahawa Aman bakal menulis novel romantik! Haha! Padahal diri ini lebih enjoy dan seronok dengan tema thriller dan horror. Walaupun begitu, Aman merasa super teruja dengan penghasilan novel ini kerana beberapa faktor! Novel ini merupakan novel sulung Aman yang solo! Bermaksud, di dalam novel ini, Aman tidak menulis bersama Kak Ain Maisarah. Novel ini juga menggunakan POV pandangan pertama iaitu "aku" yang berbeza dengan kebanyakan novel-novel BLINK. Oh! Cerita novel ini juga bertempat pada waktu dan latar yang sama dengan novel Lembaga Kerusi Belakang!


* * * * *
SINOPSIS | Latihan matematik, kerja sekolah, buat nota… semuanya sentiasa lengkap sempurna! Sememangnya Fain pelajar terbaik dan suka belajar sehingga duduk pun di kerusi paling hadapan di dalam kelas. Namun, siapa sangka si gadis sempurna ini mempunyai rahsia di dalam hatinya.Senyap-senyap Fain sebenarnya memendam perasaan terhadap rakan kelas bernama Alyas, si jejaka kacak yang bersifat ceria.

Namun berbeza dengan Fain, Alyas adalah pelajar pemalas yang sering melepak di belakang kelas! Oleh sebab itu, Fain langsung tiada peluang mahu memandang si penyejuk mata itu. Mahu direnung, matanya rabun. Mahu dijeling, nanti matanya juling! Hanya papan hitam di hadapan menjadi wakil kepada wajah lelaki pujaan.Namun masalah mula menjelma, apabila guru mahu lakukan rombakan kelas yang mengasingkan pelajar cemerlang dan pelajar pemalas!

Oh, sesungguhnya retak beribu hati gadis itu apabila terpaksa menerima hakikat dirinya dan Alyas terpaksa berlainan kelas. Fain, perlu lakukan sesuatu sebelum segalanya terlambat! Malah, dia sanggup lakukan perkara salah sehingga mendapat gelaran sebagai Si Lembaga Kerusi Belakang!

* * * * *

Novel ini sangat sesuai kepada mereka yang pernah membaca novel Lembaga Kerusi Belakang kerana pembaca boleh memahami lebih mendalam akan kisah yang berlaku antara Nadiya Risa, Fain dan Laili. Malah, kepada mereka yang takut mahu membaca Lembaga Kerusi Belakang, novel ini mampu menjadi wakil untuk memahami apa yang bakal berlaku dalam novel seram itu. Haaa! Memang seronok Aman menaip novel ini kerana ianya berlaku di dalam timeline dan tempoh masa yang serentak dengan novel seram Aman!

Malah, novel ini juga berkemungkinan dikaitkan dengan buku penamat, novel seram ketiga yang sedang Aman taip sekarang ini. Jadi harapnya, semua dapat memberikan sokongan padu terhadap novel ini ya! Lelaki taip novel cinta woi! Hahaha!

Oh, ya! Di atas ini Aman sudah lukiskan konsep kaver untuk novel ini. Tetapi pastinya kaver sebenar akan lebih cantik lagi. Mari lihat sedikit teaser....



Cantik kan!?? Aman super teruja apabila tengok lukisan ini! Ia dihasilkan oleh rakan pekomik iaitu Ain Lavendra yang merupakan pelukis untuk nomik Running Star! Fuh... mahu lihat kaver penuh? Haa...nanti pada entry yang akan datang!

v (^_____^) v

-out-

Friday, September 23, 2016

Risau Tapi Suka!

Yeah! Akhirnya novel terbaru ini dapat juga dibelai-belai lembut! Lihat, comel bukan kavernya! Ohhh...my baby!


Walaupun Aman sangat teruja dengan kelahiran buku baru ini, tetapi ketika Aman pegang novel ini tidaklah se-emosional macam selalu. Ah, adakah hatiku sudah kering? Apapun memang sangat berpuas hati!

Namun karya novel ini tetap ada kerisauan yang Aman asyik fikirkan. (Mungkin ini punca kurang emosional agaknya...) Pertama, walaupun Aman sangat suka akan kaver novel ini yang sememangnya Syaitonnnirojimm, tetapi pasaran BLINK adalah pelajar-pelajar sekolah. Oh, bagaimana ya penerimaan guru-guru dan ibu bapa terhadap kaver buku ini? Walaupun Aman jamin cerita ini memberi nilai moral tinggi serta patuh syariah, tetapi kalau dapat orang yang hanya menilai dari kaver... Fuh, memang melenting juga!

Kedua, cerita ini agak dark berbanding karya-karya Aman yang sebelum ini yang ada elemen fun-fun. Even dalam novel Lembaga Kerusi Belakang, masih lagi ada banyak moment yang ceria dan melawak. Tetapi, novel Korban Kerusi Biru ini ceritanya suram sedikit dan membawa tema yang heavy. Tidak pasti apa pendapat para pelajar apabila baca nanti. Harapnya mereka suka! Yosh!!

Ketiga, Aman sebenarnya sedang stress!! Hahaha! Sewaktu karya novel ini terbit, pada masa yang sama Aman sedang dikejar editor untuk novel terbaru yang bertemakan cinta! MasyaAllah susah dan payah betul membuat cerita cinta ini. Namun, fun juga menaip sambil menggedik! Haha! Jadi, tak sempat mahu seronok-seronok, terus kembali bekerja semula. Fuhhh!



Apapun, disebalik kerisauan itu, ada juga berita yang GEMBIRA! Pertama, walaupun baru sehari novel ini diterbitkan, tetapi sambutan pembeli online bukan main hebat! Aman baru sahaja sign 20 naskah karya, kemudian esok harinya Aman dipanggil lagi untuk sign lagi 20 naskah! Wah!

Haaa... dan berita kedua ini lebih hebat lagi! Novel pertama Aman iaitu Lembaga Kerusi Belakang diulang cetak untuk kali KELIMA! Ini bermakna, novel LKB itu sudah tercetak sebanyak 20 RIBU NASKAH dalam masa 10 bulan sahaja!!



Aman tersangat-sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembikinan novel ini, juga kepada yang sokong beri motivasi DAN paling utama pada korang yang sudi membaca karya Aman itu! Aman berharap novel Korban Kerusi Biru bakal mengikut jejak kejayaan abang sulungnya!

Doakan Aman ya!



^_______^

-out-

Saturday, September 10, 2016

Sebalik Kisah Korban

 Arghhhh!! Wahhhh!! Emmmm!!

Novel KORBAN KERUSI BIRU akhirnya berjaya terbit ke pasaran! Yeay!!
Sememangnya terasa bagaikan kelahiran baby baru lagi! Ini adalah buku Aman yang ke-8 secara rasminya. Namun, diri ini tetap teruja!

Baiklah, sebenarnya ada banyak kisah ketika proses menghasilkan buku ini. Jadi, mari kita berpatah kembali pada 1 bulan yang lepas ya!

* * * * *

Sebulan yang lepas, (14 Ogos 2016) semuanya bermula dengan sesi perbentangan cerita novel terbaru.

Aman telah membentangkan sebuah cerita spin-off kepada novel Lembaga Kerusi Belakang (yang tajuk masih dirahsiakan!). ALHAMDULILLAH! Cerita itu mendapat lampu hijau daripada Tuan Amal dan Kak Ain Maisarah! Ianya cerita novel cinta namun jalan ceritanya berlaku pada masa yang sama ketika kisah Lembaga Kerusi Belakang sedang berlangsung.

Aman sangat-sangat tidak sabar mahu menyiapkan novel ini! Ini adalah salah satu eksperimen Aman dalam genre romantik lagi mengada-ngada. Pastinya sesiapa yang membaca akan muntah pelangi. Hahaha!


Oh, tidak! Novel ini bukanlah sambungan kepada Lembaga Kerusi Belakang, ianya hanyalah spin-off. Sebuah cerita disebalik kisah Nadiya diserang hantu, rupa-rupanya berlaku kisah sweet-muweet di dalam kelas yang sama! Hehe! InsyaAllah siri LKB itu akan ada 3 buku. Buku kedua bertajuk Korban Kerusi Biru masih lagi dalam proses editing (pada masa itu). Buku ketiga pula masih dalam perancangan.

Aman sempat juga berbual dengan Kak Ain Maisarah berkenaan konsep buku penutup kepada siri ini, Alhamdulillah Kak Ain suka dan Aman akan pastikan rangka lengkap disiapkan sebelum cerita ini dibentang secara official nanti. Yosh!

Oh, kemudian pada malam harinya, Kak Editor telah menunjukkan final cover untuk Korban Kerusi Biru, iaitu buku kedua di dalam siri LKB ini. Pehh... memang terbaik! Memang syaiton habis kavernya. hahaha! Aman begitu teruja dan risau pada masa yang sama. Teruja, kerana cerita dan kavernya seakan sesuai sekali. Ianya heavy dan a bit dark berbanding LKB. Namun sedikit risau sekiranya novel ini tidak di approve oleh guru dan ibu bapa. huhu. Semoga korang doakan novel ini mendapat sambutan hangat ya!


Kemudian setelah beberapa, hari Kak Editor memberikan proof novel Korban Kerusi Biru untuk Aman semak jalan ceritanya. Ini kerana ada perubahan di bahagian ending. Kak Editor kata ending original terlalu depress untuk dibaca oleh pelajar sekolah. Haha! Memang pun! Aman kalau boleh mahu biarkan sahaja endingnya begitu. Tetapi setelah Aman dan Kak Ain berbincang di markas BLINK bersama-sama, perubahan kecil dilakukan supaya ianya tidaklah 100% depress dan dark. Jadi, sesuai dengan kelompok pembaca tetapi tetap mengekalkan sisi gelap cerita ini.


Fuhhh!Lega!

* * * * *

Apapun, kini novel ini sudah pun dicetak! Aman sangat tidak sabar mahu menantikan respons dari pembaca semua. Hope ianya terhibur dan memberi kepuasan ya! 

^_____^

-out-

Friday, June 17, 2016

Super Bodyguard & Diari Pink


Sebulan lebih sudah berlalu sejak terbitnya dua novel ini pada 29 April 2016 di Pesta Buku Antarabangsa yang lepas. Selama sebulan lebih ini juga, Aman sentiasa aktif di Facebook, Instagram dan blog2 untuk mencari segala jenis respon dan ulasan pembaca berkenaan novel-novel ini.

Apa yang Aman terima?
Cukup membuatkan diri ini terbang ke udara! Ewah!

Sememangnya Aman sangat berterima kasih kepada pembaca kerana memberi peluang pada Aman untuk berkarya secara taipan ni. Sambutan mereka sangat positif dan ulasan juga mendapat markah yang agak memuaskan hati. Thanks!

Jadi, untuk entry kali ini, giliran Aman pula untuk membuat ulasan pada novel sendiri. Aman bukannya nak beritahu pada pembaca blog bahawa novel-novel Aman ini adalah yang terbaik. Tetapi hanya untuk rujukan diri di masa hadapan untuk apa yang perlu Aman baiki dan elemen apa yang perlu Aman kekalkan di dalam penulisan novel yang seterusnya. Yosh!

* * * * *

AKU MAHU SUPER BODYGUARD

Apa yang Aman suka dengan novel ini adalah persahabatan antara 3 watak utama iaitu Afiqah, Juliana dan Firdi. Ketiga-tiga watak ini punyai goals dan personaliti yang berbeza. Secara asasnya, 3 watak ini adalah watak tipikal pelajar sekolah yang sebelum ini mereka membuat kemunculan pertama di dalam novel Aku Mahu Bunga Di Hati hasil karya penulis Naim Jalil. Namun Aman cuba untuk berikan keunikan dan personaliti baru pada mereka walau sedikit. Alhamdulillah, ada terdapat juga perbezaannya.

Berkenaan plot, jalan cerita novel ini semacam rollercoaster dengan pelbagai mainan emosi. Ini kerana Aman cuba untuk mewujudkan tension dibahagian klimaks cerita. Jadi, sejak dari awal, Aman perlu selitkan tension itu tanpa mengurangkan babak diva-ness dan kegedikan yang sememangnya sinonim dengan BLINK. Terutama apabila Aman menggunakan watak The Wannababes sebagai salah satu tunjang utama. Fuhh!

Bercerita tentang The Wannababes. 7 watak gadis diva ini adalah watak yang cukup ikonik dengan BLINK dan merupakan watak original daripada Kak Ain Maisarah sendiri. Untuk menguasai personaliti 7 watak gedik ini juga bukan calang-calang! Setiap mereka punyai kegedikan yang tersendiri. Fasha dengan watak ketua pemutus kata, Shasha dengan sifat cool, Fazura dengan rebel, Nana dengan lawak hambarnya dan lain-lain.

Aman cukup berterima kasih pada Kak Ain dan penulis Haziq Ridzuan kerana banyak membantu Aman dalam menguasai watak 7 gadis gedik ini. Walaupun pada awalnya agak pening kepala, namun hasilnya cukup memuaskan hati Aman! Yatta!

Plot twist di dalam novel ini merupakan X-factor yang Aman cuba simpan dan letupkan apabila pembaca sampai pada bab ia berada. Pada awalnya, X-factor ini agak lemah. Namun ketika Aman sedang siapkan manuskrip, Aman telah melakukan penambahan pada watak yang membuatkan ianya better dari sebelum ini. Ramai juga pembaca yang respon terhadap twist ini. Berjaya!

Ada 3 babak yang Aman paling suka ketika menulis novel ini. Yang pertama adalah babak tegang di antara Afiqah dan Juliana selepas tamatnya teater. Yang kedua pula babak klimaks Afiqah yang berjaya menjadi 'Super Bodyguard' yang sebenar. Yang terakhir adalah babak ending cerita.

Tiga-tiga babak ini kekuatannya bagi Aman adalah pada emosi dan dialog yang disampaikan. Aman sangat-sangat berharap dialog dan emosi ini dapat sampai pada pembaca dengan tepat. Tiga-tiga membawa emosi yang berbeza namun cara penulisannya sangat-sangat Aman suka tulis dan baca!

RANCANGAN SETERUSNYA : Aman sudah bercadang untuk kembangkan lagi kisah persahabatan 3 watak utama ini. Bagi Aman, watak mereka masih banyak lagi perlu diunikkan supaya tidak terlalu tipikal. Jadi, Aman telah merancang setiap mereka bakal menjadi peneraju utama untuk novel-novel Aku Mahu Super yang seterusnya.

Bermula dengan Afiqah dengan kisah bodyguardnya, kemudian Firdi dengan dilema mama baru, dan Juliana dengan rahsia diri yang tersebar merata! Kemudian, Aman akan tamatkan kisah 3 sahabat ini dengan 1 lagi novel yang punyai permainan emosi tahap maksima. Jika perancangan ini berjaya, novel-novel ini bakal terbit sebelum penghujung tahun 2018 nanti. InsyaAllah!

* * * * *

AKU MAHU DIARI PINK

Seriously Aman lebih enjoy merangka novel ini berbanding Aku Mahu Super Bodyguard! Haha! Okey, untuk yang tertanya-tanya, apahal AmanWan kata ini novel dia sedangkan terang, nyata lagi jelas tiada nama Aman di depan kaver novel ini.

Haaa... Aman merupakan pereka cerita untuk novel ini dan juga mentor kepada Alam Anuar yang mengembangkan cerita Aman menjadi setebal 120 pages! Jadi, secara tidak langsung, apabila orang suka akan ceritanya, Aman juga turut seronok!

Okey, kekuatan novel ini adalah pada personaliti dan kebodohan di watak utama yang Super Bimbo iaitu Ezra dan Kisha. Sekiranya watak utama cerita ini adalah tipikal pelajar sekolah, ianya pasti agak bosan. Namun. kebodohan watak dengan aksi dan dialog merepek cukup buat Aman enjoy menaip rangka cerita ini. Haha!

Watak Ezra Fazrirah ini pernah membuat kemunculan pertama di dalam novel Aku Mahu jadi The Wannababes, hasil penulisan Haziq Ridzuan. Apabila Aman terbaca personaliti watak ini yang mempunyai potensi dikembangkan, terus sahaja Aman guna dan memikirkan idea yang menarik. Bagi Aman, premis cerita ini sudah cukup kuat. Malah lebih kuat berbanding Aku Mahu Super Bodyguard.

"Kisah si gadis gedik yang suka menulis diari dan diari itu tertukar dengan diari si pembunuh bersiri!" Tengok, hanya 1 ayat mudah Aman boleh ceritakan konsep dan sinopsis yang membuatkan ornag tertarik mahu baca.

Walaupun cerita ini super gedik, tetapi tetap ada cabaran nak mereka cerita ini. Gedik juga adalah satu seni! Sekiranya di dalam novel Aku Mahu Super Bodyguard ada watak The Wannababes, si 7 gadis gedik yang cukup diva, tetapi untuk watak Ezra dan kisha, Aman mahukan gediknya berbeza! Jadi, banyak kali juga Aman menonton sitcom yang mempunyai watak gedik dan bimbo yang nyata dan Aman cuba tiru dialog-dialog serta kebodohan watak itu. Antara yang Aman rujuk adalah filem Mean Girls dan sitcom 2 Broke Girls.

Semua dialog-dialog ini Aman telah selitkan di dalam dokumen rangka cerita supaya Alam Anuar dapat gambaran yang jelas tentang personaliti watak yang Aman mahukan. Alhamdulillah, Aman dapat respon positif dari pembaca tentang watak-watak ini! Yeay!

Novel ini dan Super Bodyguard mempunyai 1 elemen yang sama diterapkan iaitu kisah pelajar sekolah yang terlibat dengan penjenayah. Aman sukakan elemen jenayah kerana watak pelajar ini dapat lari dari aktiviti normal sekolah yang biasa-biasa. Reaksi mereka terhadap penjenayah itu adalah kunci utama menjadi tarikan pada pembaca. Ini yang Aman percayalah.

RANCANGAN SETERUSNYA : Dua-dua watak Ezra dan Kisha ini sangat-sangat berpotensi untuk mempunyai golongan peminat yang tersendiri dikalangan pembaca. Yang penting, mereka perlu mempunyai plot yang menarik untuk dihasilkan. Aman sudah mempunyai idea untuk novel Aku Mahu ____ Pink yang seterusnya. Novel ini bakal mempunyai sedikit elemen fantasi dan juga cross-over dengan watak Firdi dalam novel Aku Mahu Super yang seterusnya!

Aman sungguh tak sabar nak siapkan rangka cerita dan kembali berlakon bimbo bersama Ezra dan Kisha. Sememangnya novel ini adalah satu peluang Aman untuk mengada-ngada secara nyata. Ahaks! Semoga segalanya bakal berjalan lancar!

* * * * *

Well, that's my review dan commentary tentang 2 novel terbaru tahun 2016 ini. InsyaAllah tidak lama lagi, dalam tahun ini juga akan terbit novel Aku Mahu Jadi Travelistar yang bakal ditulis oleh penulis Hazira Hanapi. Pereka ceritanya? You know who. ;)

So, nanti kita buat review untuk novel itu selepas ia terbit pula okei! Sememangnya ada banyak yang Aman mahu cerita tentang Aku Mahu Jadi Travelistar itu.

Hopefully, Aman akan lebih aktif dalam menghasilkan cerita yang lebih berkualiti pada masa hadapan. Sekarang ini juga ada beberapa manuskrip yang masih sedang disiapkan. Semoga Allah permudahkan segala urusan. Amin!!

Terima kasih geng untuk segala sokongan. Much love!

-out-

Thursday, March 24, 2016

Sendiri Emosi

Setelah 2 bulan novel AKU MAHU SUPER BODYGUARD disubmit pada pihak editorial, Aman tidak baca-baca pun lagi karya itu. Sehinggalah Kak Editor akhirnya memberikan fail PDF novel itu untuk Aman semak sebelum dihantar ke kilang cetak!

Sepatutnya, Aman ditugaskan menyemak sebarang typo atau tatabahasa yang salah. Namun, oleh kerana 2 bulan tidak membaca karya ini, Aman terlayan sehingga 4 jam lamanya!

Kak Editor emelkan pada pukul 12 tengah malam tadi. Aman mula membaca pada 12:40 malam sehinggalah 4:40 pagi! Non stop!


Selama 4 jam ini, Aman kejap-kejap tergelak terkekek-kekek (dengan tulisan lawak sendiri..haha), lepas tu meremang bulu roma apabila babak suspen, dan yang paling tidak boleh tahan rasa sebak dan bertakung sikit air mata ketika babak emosi...

Padahal... INI NOVEL SENDIRI NI!

Even setiap babak dah SPOILER dah pun sebab sendiri yang tulis kan.

Tapi entah kenapa... Aman membaca dengan pandangan BUKAN PENULIS pula malam ini. Aman rasa sangat kagum. Aman rasa sangat tak percaya. Aman rasa sangat emosi...

"Aku yang taip semua ni...?"

Soalan yang Aman tertanya dari tadi. Ahh... personally, Aman sukakan novel ini. DAN Aman sangat-sangat tidak sabar mahu tahu emosi pembaca apabila membaca pula.

Alhamdulillah, satu karya lagi sudah bersedia memberi impak untuk pembaca.

InsyaAllah!

-out-

p/s-- Tak sabar nak baca pruf untuk AKU MAHU DIARI PINK pula! Mesti lagi syok!

Tuesday, March 22, 2016

Karya Novel di Awal 2016


Tahun 2016 ini memang Aman mahu fokus dalam bidang baru iaitu penulisan novel. Bagi Aman ini satu lagi cabang yang perlu Aman asah sementara peluang sedang terbuka. Lebih lagi, 4 tahun melukis bersama BLINK, tiba masanya untuk Aman mengambil nafas baru. Cerita baru, bidang baru, hobi baru.

Namun, tidak bermakna Aman tinggalkan komik terus. Aman masih lagi melukis kerana Aman mahu BLINK Nomik berkembang pesat. Alhamdulillah Aman kini bersama pelukis-pelukis hebat yang bakal memeriahkan lagi industri nomik.

Jadi mesti korang tertanya-tanya, novel apa je yang Aman tengah taip dan sudah siap taip? Meh Aman kongsikan projek novel yang sedang berlangsung dalam awal tahun 2016 ini.

* * * * *


1 - AKU MAHU SUPER BODYGUARD

Ini ialah novel Aman yang pertama dalam genre gedik-gedik! Seperti yang korang tahu, BLINK memang terkenal dengan cerita yang gedik lagi mengada-ngada. Namun, untuk karya Aman ini, Aman meletakkan sedikit unsur suspen dan jenayah supaya jalan cerita lebih menarik!

Novel ini Aman siapkan dalam masa 1 bulan, bermula pertengahan Disember 2015 hinggalah Januari 2016. Kini sudah pun dalam proses editorial dan bakal terbit di Pesta Buku Antarabangsa 2016 pada bulan April nanti.

Novel ini Aman telah rangka ceritanya lama! 2 tahun lepas lagi. Namun pada ketika itu Aman tidak yakin pada kebolehan diri, jadi Aman pass pada rakan penulis BLINK untuk bekerjasama menjadi penulis. Namun, akhirnya karya ini di pass ke seorang demi seorang sehinggalah kembali ke tangan Aman semula.

Aman tidak mahu karya ini tertangguh lama lagi, jadi Aman sahut cabaran untuk hold sekejap pembikinan nomik Lawak Sekolah 6 untuk mencuba tulis novel ini. Alhamdulillah, pengalaman yang seronok dan siap dengan jayanya!


* * * * *


2 - AKU MAHU DIARI PINK

Novel ini Aman bekerjasama dengan rakan penulis BLINK iaitu Alam Anuar yang terkenal dengan novel Aku Mahu Banglo Pink! Aman menjadi pereka cerita dan editor, Alam pula menjadi penulis.

Novel ini juga cerita gedik-gedik yang terselit kisah jenayah! Hahaha! Memang Aman suka letak konflik yang berat-berat pada watak gedik. Ini kerana Aman terpengaruh dengan filem chic flick seperti Legally Blond dan White Chick! Cerita gadis-gadis tetapi ada konflik yang besar dan menarik.

Namun, berbeza dengan novel Aku Mahu Super Bodyguard, novel ini Aman awalnya mengalami kesukaran sedikit. Ini kerana Aman perlu edit penulisan Alam Anuar supaya mencapai feel yang Aman expect. Jadi, mengedit hasil karya orang lain agak sukar juga kerana Aman perlu pastikan Aman tidak mengubah gaya penulisan dan identiti Alam Anuar dalam novel ini.

Alhamdulillah, novel ini juga berjaya siap edit sebulan selepas Aku Mahu Super Bodyguard. Alam siap menaip pada bulan Januari, maka Aman pula siap edit novel ini pada Febuari 2016. Novel ini juga bakal terbit di Pesta Buku Antarabangsa 2016! Yeay! Ada 2 novel terbit serentak!


* * * * *


3 - SEKUEL LEMBAGA KERUSI BIRU

Kepada yang pernah membaca novel sulung Aman iaitu Lembaga Kerusi Belakang, ini adalah sambungan kepada novel itu. Alhamdulillah sambutan novel pertama sangat memberangsangkan sehingga berstatus bestseller! Sudah diulang cetak lagi 5000 naskah dalam masa 2 bulan. Wahhh!!

Jadi, makin membuak-buaklah perasaan Aman untuk menyiapkan sambungan untuk siri lembaga ini. Aman sekarang lagi 5 muka surat sahaja untuk siap. Namun menaip novel seram ini lebih mencabar kerana Aman perlu pastikan setiap ayat memberi emosi yang jelas kepada pembaca.

Berbeza apabila menaip novel siri AKU MAHU yang Aman boleh taip ayat gedik dan lawak sesuka hati. Novel seram memerlukan penelitian yang lebih terperinci. Silap pilih perkataan, perasaan seram tidak akan datang. Silap susun kedudukan ayat, pasti cerita akan bosan.

Namun, Aman yakin jalan cerita kali ini lebih seram dan lebih berdarah berbanding buku pertama. InsyaAllah buku ketiga dan penamat untuk siri lembaga kerusi ini bakal Aman mulakan pada Mei 2016 pula. Yosh!!


* * * * *


4 - NOMIK LAWAK TERBARU

Tahun ini juga Aman memegang jawatan sebagai pengurus/editor untuk Nomik BLINK. Ini bermakna, Aman kini di dalam proses mengumpulkan beberapa pelukis untuk bekerjasama melukis komik dengan Aman.

Alhamdulillah, untuk projek pertama Aman menerima 2 pengkarya yang mempunyai keunikan yang tersendiri iaitu Danial Haikal dan Amna Shark! Sebelum Aman diberi jawatan lagi Aman memang follow karya kedua-dua mereka ini secara senyap-senyap. Jadi, apabila big bos berikan jawatan ini pada Aman, memang mereka berdua antara yang sudah di dalam list mesti tarik masuk BLINK! Haha!

Projek nomik kami juga berjalan sangat lancar dan seperti yang korang tahu, nomik adalah gabungan Novel+Komik. Untuk nomik lawak terbaru ini (tajuk dirahsiakan dulu) Aman, Danial dan Amna melukis komik bersama-sama.

Namun, untuk bahagian novel, hanya Aman seorang sahaja dan dibantu oleh Kak Ain Maisarah. Novel untuk nomik ini juga lebih mudah seperti menghasilkan siri AKU MAHU. Malah mukasurat juga tidak banyak dan konflik juga santai. So far, Aman enjoy menulis untuk nomik lawak ini!

InsyaAllah Aman target 2 buah nomik ini bakal terbit pada akhir tahun 2016 nanti. Amin!


* * * * *


Alhamdulillah, setakat ini sudah ada 4 projek penulisan yang sedang Aman usahakan di awal tahun. Ada banyak lagi yang bakal Aman tulis. Ada banyak lagi genre novel yang akan Aman taip.

Aman peminat siri bunuh yang kejam-kejam. Idea untuk 3 buku sudah ada dan big bos sudah suka ceritanya. InsyaAllah bakal menulis 3 buku itu pada bulan 7 akan datang.

Jadi, doakan Aman berjaya dalam karier sebagai novelis juga ya!

Terima kasih kerana support Aman!

v( ^______^ )v

-out-

Tuesday, December 8, 2015

Cabang Baru. Langkah Baru.


Aman sendiri tak tahu nak cakap perasaan kali ini. Ianya sama seperti kali pertama nomik Lawak Sekolah diterbitkan. Tapi... lain sikit.

Pertama kali Aman pegang novel ini, Aman membaca isi dalamnya. Kejap-kejap baca ending. Kemudian baca tengah-tengah. Kemudian ke bahagian babak lain. Dalam kepala terfikir,
"Pehh...ni semua aku yang tulis?"

Memang itu lah. Peh.

Maybe selama ini Aman dikelilingi dengan angan-angan dan dunia lukisan kartun dan komik. Komik dan lukisan membesar bersama. Jadi apabila Aman officially terbit nomik (novel+komik), perasaannya seperti usaha dari kecil kini tak sia-sia.

TETAPI sekarang ini Aman terbitkan novel.

Novel pertama.

Perasaannya pelik. Teruja, kagum dan tak percaya. Tak pernah terlintas pun dulu dalam kepala untuk bergelar Novelis. Memang Aman juga pembaca novel tetapi tidak lah begitu tegar dulu. Sejak Aman join BLINK baru lah perasaan membaca novel itu semakin membuak-buak. Mungkin sebab Aman sudah tahu usaha yang dihasilkan dalam novel.  Sudah nampak betapa strugglenya penulis. Sudah sedar seni baru bernama penulisan kreatif ini.

Itu lah dia.


Dulu Aman selalu bayangkan menulis novel ini lebih mudah dari melukis komik. Tapi keduanya ada pro dan con. (Nanti boleh Aman buat 1 entry khas tentang Novel vs Komik) Cubalah bayangkan, even 1 ayat seperti "Dia kemudiannya rebah menghempas ke lantai..." pun sebenarnya perlu memerah otak. Perlu fikirkan banyak aspek.


Adakah ayat ini relevan?
Adakah perkataan rebah itu sesuai?
Adakah ayat ini mudah untuk disebut?
Adakah ada ayat ang terulang-ulang?

Peningkan? Even 1 ayat sebenarnya adalah 1 usaha keras. Sejak Aman menaip novel ini, baru Aman dapat rasa sendiri susah dan payah menjadi penulis. Dan tentu jugalah keseronokan dan kepuasannya.

Aman memang berterima kasih sangat pada Kak Ain Maisarah dan Tuan Amal yang memberi Aman peluang untuk bekerjasama dan mencuba dalam cabang baru ni. Begitu juga dengan rakan penulis, editor dan segala yang terlibat dalam industri buku kerana banyak memberi inspirasi dunia Aman sekarang. Ini satu dunia baru yang Aman akan teroka dan sangat teruja.


InsyaAllah. Satu lagi jalan telah dihamparkan. Dengan lafaz Bismillah, kini Aman mulakan langkah...

Terima kasih Allah.

^____^

-out-

Saturday, November 7, 2015

Novel sulung AmanWan - LEMBAGA KERUSI BELAKANG

Pada suatu petang yang hening ( klise gila ayat ) sedang Aman makan keropok sambil baring, tiba-tiba dapat 1 mesej beserta link website dari Kak Editor.
"Suka mana satu?"
Bila Aman klik sahaja link itu, terteralah 3 jenis kaver novel ini.

YEAY! KAVER NOVEL SULUNG AMAN SUDAH KELUAR!!

Ya Allah! Happynya rasa! Teringat masa pertama kali kaver nomik Lawak Sekolah ditunjukkan. Perasaan teruja yang sama! Ini ialah novel sulung Aman! Tak pernah-pernah diri ini terfikir mahu jadi penulis novel, namun sejak bersama BLINK dan dikelilingi novelis, aura mereka terserap juga dalam diri. Maka terhasillah sebuah novel seram - LEMBAGA KERUSI BELAKANG~!!

v ( >   w  < ) v

Sememangnya buku seram adalah yang selalu menjadi tarikan buat diri Aman kalau ke kedai-kedai buku. Tapi Aman sebenarnya tidaklah berminat pada 'seram tipikal' seperti pocong semua tu. Tapi lebih kepada horror yang ganas, berdarah-darah dan ada monster!

Tapi cerita hantu tipikal pun okey sahaja kalau plot menarik. Hihihi!

Apapun, novel pertama ini memang banyak cabaran! Aman tak mahu hasilkan sebuah cerita yang hanya nak momokkan pembaca. Aman mahu hasilkan sebuah plot yang ada rasa. Ada feel. Jadi, terhasillah kisah Lembaga Kerusi Belakang ni yang ada nilai sahabat, keluarga dan bermain dengan perasaan pembaca. Yosh!

Selain dari itu, Aman mahu kekalkan prinsip buku BLINK. Walaupun novel hantu, tetapi tetap kekalkan Bahasa Melayu Penuh dan mesra syariah. InsyaAllah tidak terpesonglah sesiapa yang membaca cerita ni. Amin!

Ahhh~ Apapun, sekarang ini semangat terus membuak-buak untuk hasilkan novel seram seterusnya. Yup! Cerita ni ada prekuel dan sekuel juga. Aman sedang tulis sejarah kemunculan "Lembaga Kerusi Belakang" yang menghantui dalam novel ini.

Novel kedua itu akan lebih ganas dan seram. Rasanya terpaksa letak "Untuk Pembaca Matang" juga agaknya kerana banyak konflik dan babak yang agak gory dan creepy. Muahaha!

Jadi, sementara novel kedua sedang disiapkan, apakata korang undi mana di antara 3 kaver ini yang menjadi pilihan? Bagitahu Aman ya!

^_________^

-out-

Friday, July 3, 2015

Birthday Berhantu

Umur sudah 27.

Ah, entah kenapa setiap kali besday datang, Aman pasti akan persoalkan diri "Apa perbezaan diri kau berbanding tahun lepas?"

Perbezaan? Hanya kurus 1 kg. Itupun sebab puasa. haha!

Walau apapun, besday Aman tahun ini memang tidak tenang dibuatnya. Manakan tidak, tahun ini juga Aman berjinak-jinak untuk menulis novel. Di saat semua rakan sebaya ada baby manusia, Aman hanya menambah baby karya je. Hihi.

Nak dijadikan cerita, tup tup deadline yang diberi adalah pada hari jadi Aman sendiri. 1 Julai 2015.

Nak dijadikan konflik pula, Aman tak siap tulis pada tarikh tu.

Haaa... tak kemain cuak diri ni menaip pantas! Dari sahur hingga ke sahur esok harinya asyik duk menaip cerita.

Alhamdulillah! Setelah diberi extra 24 jam, Aman dapat juga siapkan novel sulung Aman ini!! Weeee~!! Aman diberikan peluang untuk menulis cerita seram. Hah! Memang faveret!

Aman mula meminati novel dengan membaca karya-karya Darren Shan yang dikenali sebagai penulis novel horror nombor 1~!! Dari dulu lagi Aman memang mahu hasilkan cerita seram-seram, ganas-ganas seperti Darren ini. Walaupun novelnya agak ganas, tetapi tetap ada value, humor dan mesej yang buatkan Aman berfikir.

Itu yag Aman suka dnegan karya Darren Shan. Itu yang Aman jadikan dia sebagai salah seorang idola dalam dunia penulisan.


Oh, ironinya! Besday Aman jatuh pada 1 Julai. Aman submit novel (dan bergelar penulis seram) pada hari berikutnya iaitu 2 Julai. Dimana itu adalah besday Darren Shan! Weeee~!

Sudahlah kami ini sama-sama Abang Tembam, sama-sama juga menulis cerita seram!

Hehehe!

Aman berharap, moment ini adalah detik permulaan untuk karier Aman sebagai penulis pula dalam industri buku di Malaysia ini. Seronok juga mencuba sesuatu yang baru setiap kali.

Doakan Aman sukses ya!

-out-

p/s-- Di atas itu adalah kaver mockup sahaja. Tajuk novel? Biarlah rahsia buat sementara.. hihihi