Tuesday, March 26, 2013

CERPEN: Kakak Rambut Blonde yang Budiman.


I hate this!

          Jani mengerut dahi. Dia bukannya benci berada di sini. Malah, dia sangat sukakan Pesta Buku. Biblioholic, katanya. 

          Dia juga bukannya benci kerana tiada teman. Malah, dia lebih suka berjalan berseorangan. Independent, katanya. 

          Tetapi. dia benci kesesakan sekarang ini. Bukannya dia tidak waras untuk menyangka hanya 10 hingga 20 orang pengunjung sahaja yang akan hadir. Ini ialah Pesta Buku. Tentunya Jani sudah membayangkan kehadiran ratusan pengunjung dan peminat buku. Ianya amatlah normal. 

          Tetapi apa yang membuatkan Jani panas hati ialah apabila laluan yang sedang dia redah ini hanya dipenuhi oleh makcik-makcik yang membawa beg plastik berisi sayur, buah dan ikan! Malah, mereka boleh lagi berjalan lambat-lambat sambil terkekek-kekek bergosip tentang hal rumah tangga orang lain. 

          Apakah ini!? Bila masakah Pesta Buku sudah mula menjual sayur dan ikan pula ini?? Jani melihat kiri dan kanan. Ah, dia kini sudah nampak sumber kepada masalah ini! Betul-betul bersebelahan dewan Pesta Buku, terdapat sebuah Pasar Tani. Jadi, sudah pastinya makcik-makcik ini datang dari sana. Malah, Jani juga amat pasti bahawa makcik-makcik ini sengaja ikut laluan dalam dewan kerana mahu menyejukkan badan dengan penghawa dingin! 

          “Ah, menyibuk betul! Nak pergi pasar, pergilah pasar! Tak payahlah nak menyempitkan orang yang mahu beli buku!” rungut Jani sendirian. Dia teruskan langkah ke arah laluan yang dipenuhi dengan makcik-makcik itu. Jani meredah dengan agak kasar. Sesekali badannya menolak makcik-makcik yang menghalang laluan. Terdengar di cuping telinga Jani, bisik-bisik umpatan di belakangnya. 

          “Eh, main tolak-tolak pula dia! Anak siapa itu?” 
          “Kurang ajar! Anak siapa itu?” 
          “Tidak sopan langsung! Anak siapa itu?” 

          Yang teringin sangat mahu berkenalan dengan bapak aku ini kenapa? Jani buat tidak tahu. Kaki masih melangkah deras. Perjalanan terus pantas. Kalau tidak, nanti peluang tercantas! 

          Mata Jani meliar memerhati papan tanda di setiap booth di laluan itu. Sekali sekala, bibirnya terkumat kamit membaca setiap nama penerbit. 

          WinkBook Sdn Bhd.... Bukan! 
          Wi Ti Es Publication… Bukan! 
          Wirangraf...............… Bukan! 
          Wiwi Bookie…......... Hah! WIWI BOOKIE! 

          Jani mempercepatkan langkah kearah booth Wiwi Bookie, dengan hasrat untuk membeli novel bertajuk Pembunuh Gedik! Walaupun buku itu berwarna pink, tetapi ianya cerita misteri pembunuhan. Sememangnya taste Jani! 

          Sejak dia terbaca iklan promosi tentang novel Pembunuh Gedik di Facebook, hatinya sudah terpikat! Kaver yang cantik, sinopsis yang menarik, dan paling penting ianya cerita misteri! Lagipun, banyak juga review yang positif Jani dapat dari blog-blog mengenai novel itu. 

          Tetapi oleh kerana syarikat penerbitan Wiwi Bookie ini masih baru, novel tersebut amat sukar untuk ditemui. Kalau ada pun, ianya agak jauh dari rumah Jani. Nak beli online, memang dia tidak tahu menahu. Well, don’t judge me. Aku online untuk Facebook dan Games saja. Mana lah tahu internet boleh guna untuk shopping! Daa~ 

          Apapun, dengan kemunculan Pesta Buku yang berdekatan dengan rumahnya, memberi harapan pada Jani untuk mencari novel tersebut di sini. Dan jangkaannya tepat! Wiwi Bookie kini ditemui! Sekarang, masa untuk mengeledah rak-rak buku di booth tersebut untuk mencari novel yang menjadi idaman hati! 

          Jani mara kearah rak. Sekali laluannya dihalang oleh seorang kakak berambut blonde dan seorang lelaki berkulit sawo matang yang sedang berdiri di hadapan rak buku sambil berbincang sesama mereka dengan tajuk perbincangan yang bertajuk 'Novel apa yang kita mahu beli lagi?'. 

          "Tempoh hari kita baca tajuk apa ya? Pembunuh Gedik kan?" tanya kakak blonde kepada lelaki tu. 

          "Ha'ah, sangat best! Cuba buku yang lain pula. Pengawas Pinky ini macam menarik." balas lelaki sawo matang tersebut. 

          Mendengar review spontan dari 2 pembaca novel Pembunuh Gadik membuatkan Jani lebih yakin untuk membeli dan membaca novel tersebut. 

          Sejurus saja selepas tu, si kakak rambut blonde dan lelaki sawo matang itu mula beredar dari posisi hadapan rak ke meja cashier untuk melakukan pembayaran terhadap buku-buku yang sudah menepati tajuk perbincangan mereka sebentar tadi. Di antara pinggang si lelaki dan handbag si kakak yang sedang bergerak melintasi hadapan Jani, dia terkilas pandang buruan utama yang di tunggu-tunggu, novel Pembunuh Gedik~!!! 

          Dengan senyuman yang selamba, keterujaan yang sedikit membara, tangan Jani pantas mencapai buku bertajuk Pembunuh Gedik tersebut. Ahh..I’ve been waiting months for this moment! And now it’s finally over! 

          Jani tersengih sendiri. Disaat 5 jari sudah memegang erat buku idaman kalbu, si kakak blonde meneruskan diskusi spontan mereka. 

          "Novel Pembunuh Gedik itu gila kan. Tak sangka pembunuh dia Si Shasha The Nerd." 

          Jemari Jani menolak kembali buku bertajuk Pembunuh Gedik ke tempat asal. Kakak rambut blonde, anda memang budiman. 

Sangat. 


-out-



KATA PENULIS: By the way, ini ialah percubaan aku untuk mula jinakkan dengan penulisan. Aku pernah post cerita ini di status Facebook, tapi kali ini aku cuba tambah2 ceritanya untuk bagi nampak ke'cerpen'nya. Susah juga. Tapi saja nak jadikan hobi baru. Sekarang ini, komik dan buat video sudah jadi kerjaya, aku fikir, aku perlukan 1 hobi baru untuk aku buat suka2 tanpa memikirkan deadline atau requirement.

Hope korang suka cerpen ringkas (yang berdasarkan kisah benar ini) dan doakan aku seronok menaip2 lagi. hehe